Pengikut

SEJARAH SKPG

Nama asal kampung ini ialah Kampung Padang Gajah. Mengikut cerita orang tua-tua, nama Padang Gajah itu terjadi disebabkan di sini adalah tempat persinggahan peniaga-peniaga dari kerajaan Beruas ke daerah Matang. Binatang tunggangan mereka ialah gajah. Tempat tambatan gajah ini menjadi rata seperti sebuah padang dan dengan itu dinamakan Padang Gajah.

Penduduk Padang Gajah kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu disamping itu terdapat juga sebilangannya daripada keturunan Cina dan India. Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani. Pada permulaannya ialah berhuma dan berladang. Keadaan ini berlanjutan sehingga kedatangan Jepun ke Malaya.


Dalam tahun 1945 keadaan telah berubah disebabkan kedatangan orang Inggeris yang berkuasa semula. Penduduk kampung telah diperkenalkan dengan penanaman getah. Selepas merdeka, banyak tanah dibuka dan ditanami dengan getah dan kelapa sawit.


Sekolah Kebangsaan Padang Gajah telah didirikan kira-kira dalam tahun 1907 oleh kerajaan Inggeris dengan sebuah bilik darjah dan seorang guru. Sekolah ini beratap genting, berdindingkan bertam berlantaikan papan dan bertiang setinggi 1 ½ meter. Bersama-sama bangunan ini didirikan sebuah rumah guru.


Pada tahun 1947, sebuah sekolah cawangan telah didirikan oleh seorang hartawan iaitu Encik Abdul Raof b. Awang. Bangunan ini ialah
untuk menampung murid-murid yang tidak cukup tempat belajar di bangunan asal.
Dalam tahun 1958, sebuah bangunan tambahan 4 bilik darjah telah didirikan oleh kerajaan bagi menampung tempat belajar yang tidak mencukupi itu. Bangunan ini dibina dengan beratap abastos, dindingnya papan dan berlantaikan simen. Disamping itu sebuah lagi rumah guru telah didirikan berhampiran dengan rumah guru yang asal.
Pada tahun 1963, keramaian murid ialah 217 orang dengan 5 orang guru. Pada tahun 1969 telah ditubuhkan Lembaga Pengurus Sekolah yang didaftarkan Ed. Bk. Registration M No. 295 mengikut undang-undang pelajaran 1957 ( No. 010 ). Pengerusi Lembaga Pengurusnya ialah Encik Abdul Ghani  b. Abdul Raof. Tertubuhnya Lembaga Pengurus Sekolah, sekolah ini telah berjaya di dalam beberapa aktiviti yang dirancangnya.

Pada tahun itu juga, Sekolah Kebangsaan Ayer Terjun telah dicantumkan dengan Sekolah Kebangsaan Padang Gajah. Sekolah ini dijadikan pusat pengajaran dan pembelajaran. Bangunan sekolah cawangan Ayer Terjun ialah bangunan yang dipinjamkan daripada Sekolah Agama Ayer Terjun. Sekolah asalnya telah diruntuhkan oleh JKR Taiping atas arahan Jabatan Pelajaran Perak. Sekolah ini telah menerima berbagai kemudahan asas seperti pagar, bekalan air dan elektrik.

Pada tahun 1982 pula, keramaian murid meningkat ke 298 orang dengan 18 orang guru termasuk guru agama Islam.
Pada tahun 1983, barulah wujud projek pembinaan sekolah baru di tapak yang ada sekarang. Keluasan tanahnya ialah seluas 9 ekar. Pada 2 April 1984, murid-murid telah dipindahkan ke sekolah baru.
Bangunan ini terdiri daripada 2 bangunan 2 tingkat dan sebuah kantin yang lebih selesa. Ianya dilengkapkan dengan perabut untuk 12 bilik darjah, bilik guru, pejabat, bilik Guru Besar, bilik Guru Penolong Kanan, perpustakaan, bilik sembahyang dan bilik serbaguna. Bilik serbaguna ini kemudian dijadikan bilik Gerakan. Sekolah ini juga mempunyai 8 buah bilik setor.
Di akhir tahun 1984, ramai murid-murid telah mengikut keluarga mereka berpindah ke tanah-tanah rancangan. Bilangan murid-murid yang bersekolah di sini telah berkurangan menjadi 265 orang sahaja. Kekurangan ini membolehkan sekolah mengadakan waktu persekolahannya satu sesi iaitu di waktu pagi hingga sekarang.
Pada tahun 2002, demi memastikan bahawa murid-murid luar bandar tidak ketinggalan dengan kemajuan teknologi maklumat, sebuah makmal komputer telah didirikan oleh kerajaan di sekolah ini dan diikuti pula sebuah kelas telah dijadikan Pusat Akses Komputer pda tahun 2006. Pada tahun yang sama sebuah bangunan prasekolah yang lengkap telah didirikan. Demi keselesaan warga sekolah dan ibu bapa untuk ke bangunan sekolah, di akhir tahun 2008 sebuah laluan berbumbung berserta astaka di padang telah dibina.

Beberapa orang Guru Besar telah bertugas di sekolah ini. Di antaranya yang dapat diketahui tarikhnya ialah :

01.    1945 – 1946       :   Encik Mat Yusuf b. Haji Taib
02.    1946 – 1947       :   Encik Ahmad b. Bak
03.    1947 – 1950       :   Encik Mat Taib b. Abdul Hamid
04.    1950 – 1953       :   Encik Tajuddin b. Mahmud
05.    1953 – 1963       :   Encik Tun b. Abdullah
06.    1963 – 1968       :   Encik Ismail b. Abdullah
07.    1968 – 1974       :   Encik Ahmad b. Ishak
08.    1974 – 1977       :   Encik Darus b. Hashim
09.    1977 – 1978       :   Encik Abdullah Hudi b. Haji Abdul Latif
10.    1978 – 1978       :   Encik Megat Mokhtar b. Megat Tambi
11.    1978 – 1979       :   Tuan Haji Harith b. Haji Abu Bakar
12.    1979 – 1985       :   Encik Ariffin b. Md Desa
13.    1985 – 1987       :   Encik Baharum b. Mansur
14.    1987 – 1996       :   Encik Suhaimi b. Haji Ahmad
15.    1996 – 1997       :   Encik Mohd b. Osman
16.    1997 – 1999       :   Encik Yatim b. Musa
17.    1999 – 2003       :   Tuan Haji Sahak b. Abd Wahid
18.    2003 – 2005       :   Puan Hjh. Salmah bt. Abu Bakar
19.    2005 – 2010       :   Encik Badzli b. Said
20.    2010 - 2012        :   Puan Marradziah bt. Mokhtar
21.       2012 -     2013            :    Encik Zainal Abidin b. Hj. Isa
22.    2013 - sekarang   :  Encik Ismail bin Yusoff

Tiada ulasan:

Catatan Popular